Monday 19 November 2012

Sekelumit Bahagia





Damai 

Sekelumit bahagia menyapa,
di sebalik rona-rona kelam,
indahnya bak sinaran suria,
yang menerjah malam..

Hati hitam,
belum bisa berdiri megah,
hanya membatu,
menanti belah,
dek duka dosa menghiris,
menunggu bilakan memugar,
ceria lagi..

Percaya,
bahawa kan tiba waktu itu,
bila jemari tidak mampu dierat,
bila mata tak mampu terbuka,
bila ubun-ubun sudah tidak berdaya,
baru kan terasa,
indahnya bahagia,
indahnya setiap kenangan,
luka pedih menghiris,
tak terluah,
hanya tertanam,
bersama jasad,
yang sudah tidak berpenghuni..

Saturday 17 November 2012

Mana Pejuang

Saat ini bumi Gaza diratah lagi,
Menyaksikan jiwa-jiwa terkorban,
dek kerakusan para pencinta dunia,
entah apa lagi alasannya,
merobek merampas dunia,
seakan semuanya tidak akan sirna..

Alangkah ruginya,
mata-mata yang tidak mampu memandang,
disebalik apa yang dipandang,
ratusan malah ribuan jiwa syahid,
bukan beerti kalah,
malah mereka menang,
kemenangan yang sebenarnya..
Andai terus hidup,
kemenangan miliknya,
dan andainya syahid,
syurga ganjarannya..

Disebalik peristiwa dunia,
tak sedar masih ada yang terleka,
usah dipeduli bedilan bom,
peledak yang memusnahkan ribuan jiwa,
yang pasti,
'hidupku adalah hidupku',
kau dan aku berbeza,
lalu tenggelam dek kerakusan jiwa,
terbuai oleh gejolak nafsu semata,
melayan keindahan maya,
yang tiada batasannya,
sejuta rahsia,
kini bukan lagi rahsia,
hanya dihujung jemari,
kan terungkai segala,
kehendak, gejolak jiwa,
yang hakikatnya,
suatu peperangan,
yang dibina oleh mereka,
agar kita terus terleka..
tanpa sedar, 
anak-anak terus dibunuh,
wanita diseksa,
bumi dihenyak oleh musuh agama.

Wahai pejuang,
belumkah ada peringatan?
belum sampaikah risalah Tuhan?
memintamu memikirkan,
dan sedar dari lena yang panjang,
semalaman saudaramu ditindas,
dibunuh, diratah dek keegoan,
diburu siang dan malam.
tetapi kita?
masih didalam kotak kaca,
memandang,
dengan bersahaja,
malah terus dan terus teruja,
keindahan dunia,
yang dewasa,
malah yang muda remaja,
menjadi hamba nafsu,
mengikut arus kemodenan,
tanpa mengira batasan,
di manakah sebenarnya perjuangan kita?



Friday 12 October 2012

Cinta Pertama

Ketulusan,
datangnya menderas,
halus tapi tajam,
menusuk bak pedang,
kadangkala terasa merobek
hati dan jiwa,
hingga akal pun mati kerananya..
telahannya.
buat diri hilang deria,
tautannya menggamit rasa,
hingga langkah terawangan.
bukan mainan,
tapi sebuah ketentuan..

Untuknya sang kuat 
bisa jadi lemah,
yang lemah bisa kental,
yang pasrah bisa berdiri teguh,
yang hitam terlihat putih,
yang layu mekar sejambak..

Namun panahannya suci,
dari hati,
dari Dia yang menciptakan,
usah diragu,
usah rasa gundah,
itu hakikatnya insan,
yang punya jiwa..
Sejauh mana laluan terpilih,
kanan atau kiri,
telus atau sembunyi,
baik atau buruk,
terpuji atau terkeji,
ada ditanganmu,
ada di hatimu,
sedang Tuhan memerhati,
setiap gerakmu,
melangkah dan berhenti..

Yang pertama,
sememangnya sukar dimengerti,
mengapa tiada pengganti,
biarpun tidak kau miliki,
tapi telahan pertamanya,
menggamit diri,
usah kau sesali,
usah kau ragui,
kerana ia seakan terpatri..

Untuk yang pertama,
berbahagialah,
kerana engkau terpilih..
Menjadi yang pertama,
dan yang utama,
bagi yang memilih..

Yang bukan pertama,
terimalah seadanya,
rahsia hati itu,
tiada tipu dayanya,
tetapkan dirimu,
kuatkan segalanya,
kerana sebenarnya,
tercipta yang Pertama,
untukmu selamanya..




Monday 8 October 2012

Di mana Cinta..

Setiap hari,
hariku semakin dekat,
bukan usia ini bertambah,
malah sebenarnya kiraannya berkurang..
berkurang,
lantaran hampirnya usiaku,
pada kematian.

Aku masih terpaku,
pada letak diriku,
apakah syurga itu bisa kugapai,
kuhirup udaranya,
kunikmati,
atau paling tidak,
kan kuhidu barang sehela nafas,
mencium wangiannya,
atau tiada peluang bagiku,
untuk semua itu.

Kukira diriku,
hitung amalku,
desak dosaku menghimpit,
belum bisa untukku meraih syurga,
kerana neraka itu,
lebih layak untukku.

Aku mengaku,
aku ego dengan-Mu,
Aku tahu Dikau Maha Pengampun,
namun bukan pengampunan
yang biasa kupinta,
hanya keluhan dan permintaan,
agar nikmatku Kau tambah..

Aku tahu Dikau Maha Penerima Taubat,
namun bukan taubatMu yang kucari,
sebaliknya kukira aku tak berdosa,
alangkah hinanya aku,
menganggap diri suci,
bersih dari noda dan dosa,
sedangkan diri ini bukan malaikat,
jauh sekali maksum..

Aku makin tenat,
menanti hari-hari terakhirku,
apakah aku mampu,
menggapai Cinta SuciMu,
Aku rindu padaMu,
Namun tanpaMu,
Mustahil kukenal erti CintaMu,

Laluan hidupku,
Ku redha seadanya,
Ku tahu,
Baik dan buruk adalah ketentuan,
Ujian dan musibah,
Adalah perhatianMu,
tanda CintaMu,
malah ada hikmah,
yang mungkin belum tersingkap,
ku pasrah segalanya,
semoga suatu masa,
kan terungkai jua,
simpulan-simpulan penguat jiwa..

Langkah Berduri

Meniti hari,
Entahkan esok,
lusa ataukah hari ini,
Kaki ini kan melangkah pergi..
Sedang sesak didada,
masih terasa..
Semakin menghimpit,
mengganggu helaan nafas..

Bagai mendaki langit,
mencari sejuta bintang
namun yang ada hanya angin
menghembus,
namun tekanannya semakin kurang,
Sedikit tegang namun masih mampu
untuk melangkah lagi..

Sudah lama,
hati ini tidak bertasbih
hanya melalui jalan-jalan liku
penuh kekosongan,
tanpa tafakur,
disebalik duri-duri yang bertaburan..

Mungkin ada ketenangan,
disebalik tusukan tajamnya,
namun getar hati tewas ini,
tidak mampu melangkau,
kerana hakikatnya,
tiada kerdipan cahaya lagi,
mengisi relung jiwa ni,
kerana dosa telah mencengkam jiwa..


Sunday 2 September 2012

Keutamaan Bangun Malam

" Dan dari sebahagian waktu malam, maka lakukanlah solat Tahajjud sebagai suatu amalan sunnah untukmu, mudah-mudahan Tuhanmu akan mengangkatmu ke tempat yang terpuji. " (al isra' : 79)

"Mereka sama meninggalkan tempat-tempat pembaringannya -untuk melakukan ibadat di waktu malam." (as-sajdah:16)

"Mereka itu sedikit sekali dari waktu malam yang mereka pergunakan untuk tidur." (az-zariyat :17)