Monday 19 November 2012

Sekelumit Bahagia





Damai 

Sekelumit bahagia menyapa,
di sebalik rona-rona kelam,
indahnya bak sinaran suria,
yang menerjah malam..

Hati hitam,
belum bisa berdiri megah,
hanya membatu,
menanti belah,
dek duka dosa menghiris,
menunggu bilakan memugar,
ceria lagi..

Percaya,
bahawa kan tiba waktu itu,
bila jemari tidak mampu dierat,
bila mata tak mampu terbuka,
bila ubun-ubun sudah tidak berdaya,
baru kan terasa,
indahnya bahagia,
indahnya setiap kenangan,
luka pedih menghiris,
tak terluah,
hanya tertanam,
bersama jasad,
yang sudah tidak berpenghuni..

Saturday 17 November 2012

Mana Pejuang

Saat ini bumi Gaza diratah lagi,
Menyaksikan jiwa-jiwa terkorban,
dek kerakusan para pencinta dunia,
entah apa lagi alasannya,
merobek merampas dunia,
seakan semuanya tidak akan sirna..

Alangkah ruginya,
mata-mata yang tidak mampu memandang,
disebalik apa yang dipandang,
ratusan malah ribuan jiwa syahid,
bukan beerti kalah,
malah mereka menang,
kemenangan yang sebenarnya..
Andai terus hidup,
kemenangan miliknya,
dan andainya syahid,
syurga ganjarannya..

Disebalik peristiwa dunia,
tak sedar masih ada yang terleka,
usah dipeduli bedilan bom,
peledak yang memusnahkan ribuan jiwa,
yang pasti,
'hidupku adalah hidupku',
kau dan aku berbeza,
lalu tenggelam dek kerakusan jiwa,
terbuai oleh gejolak nafsu semata,
melayan keindahan maya,
yang tiada batasannya,
sejuta rahsia,
kini bukan lagi rahsia,
hanya dihujung jemari,
kan terungkai segala,
kehendak, gejolak jiwa,
yang hakikatnya,
suatu peperangan,
yang dibina oleh mereka,
agar kita terus terleka..
tanpa sedar, 
anak-anak terus dibunuh,
wanita diseksa,
bumi dihenyak oleh musuh agama.

Wahai pejuang,
belumkah ada peringatan?
belum sampaikah risalah Tuhan?
memintamu memikirkan,
dan sedar dari lena yang panjang,
semalaman saudaramu ditindas,
dibunuh, diratah dek keegoan,
diburu siang dan malam.
tetapi kita?
masih didalam kotak kaca,
memandang,
dengan bersahaja,
malah terus dan terus teruja,
keindahan dunia,
yang dewasa,
malah yang muda remaja,
menjadi hamba nafsu,
mengikut arus kemodenan,
tanpa mengira batasan,
di manakah sebenarnya perjuangan kita?